Tahun 2013 menyaksikan perkembangan rakan-rakan perempuanku yang semakin matang daripada zaman ketika umur belasan tahun dahulu. ... ... ...
(Sila sambung petikan di atas) huu tak tahu macam mana mahu meluahkan apa yg sedang difikir. Risau melihat, takut juga andai diri sendiri 'lost' suatu hari nanti. Sebelum terlambat, bukankah lebih baik untuk kita saling mengingatkan? Hehe. Insha Allah, mahu berkongsi cerita yg pernah saya baca tiga tahun dulu, juga diselitkan link artikel yg ditakdirkan untuk saya membacanya ketika cuti semester yang lalu. Kedua-duanya memberi inspirasi dan kesedaran untuk lebih menjaga diri.
Adinda yang dirahmati Allah sekalian,
Sungguh, saya terlalu inginkan kebaikan untuk kita bersama. Terasa sayang sekali andai menyimpan seorang diri tanpa berkongsi dengan kalian yg bukan di depan mata. Saya yakin ini masalah ujian kita bersama. Sama ada cepat ataupun lambat, Allah pasti akan uji titik kelemahan kita ini dengan twink twink hati kita. Bercerita soal hati, perasaan dan angan-angan visi masa hadapan, ada antara kita yang terlalu memandang remeh hal ini atau tak kurang juga yang terlalu excited. Mudah-mudahan sedikit sebanyak bermanfaat di kemudian hari, untuk diri, adik perempuan kita, kakak kita, sepupu perempuan kita, anak saudara kita, rakan perempuan kita atau siapa sahaja kenalan perempuan yang kita kasihi kerana-Nya. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, jemputlah baca dengan kerendahan hati mencari ilmu-Nya :)
A man needs to seek Him in order to find her. |
Waktu di sekolah dahulu, Allah banyak uji saya
dengan lelaki. Mula-mula rasa tak suka, tapi lama-kelamaan saya rasa seronok
apabila diminati, terutamanya dalam kalangan senior lelaki. Banyak surat cinta
dan hadiah yang saya terima tanpa dipinta. Ada juga yang berkongsi ilmu
mengatakan inilah cinta kerana Allah, sambil meminjam kata-kata Atok dalam
filem Syurga Cinta. Hari-hari yang dilalui terasa lebih ceria apabila
mengetahui diri ini amat dihargai. Namun, sifat pemalu dan perasaan takut-takut
membuatkan saya kelihatan seperti jual mahal, hakikatnya hati saya suka.
Saya terhanyut dek arus dari segi pemikiran
saya sendiri, ditambah pula dengan usikan rakan-rakan setiap hari. Kata-kata
pujian dalam surat-surat itu menyebabkan hati saya berbunga-bunga. Memang
lelaki pandai bermain kata. Kadang-kadang syaitan membisikkan agar saya melayan
dan membalas surat-surat yang datang. Tapi Alhamdulillah, berkat didikan dan
pesanan yang selalu dititipkan ustaz dan ustazah di sekolah, sedikit sebanyak
menjadikan pertimbangan akal saya waras untuk tidak melayan semua bisikan
syaitan itu. Perasaan malu dan bersalah untuk berbuat begitu masih hadir dalam
hati, biarpun waktu-waktu dalam hidup saya kian dibuai keasyikan.
Kemudian, keasyikan itulah yang menjejaskan
pelajaran saya. Ketika waktu ulang kaji, kadang kala isi-isi surat itu
membuatkan saya asyik tersenyum sendiri. Keadaan tersebut sedikit sebanyak
telah berjaya mengganggu minda saya untuk fokus. Saya cuba membuangnya
jauh-jauh, namun ia tetap hadir kembali terutamanya ketika oh sungguh bosan berseorangan.
Mungkin inilah pengalaman paling mencabar dalam dunia remaja.
Suatu pagi, saya mula bertanya diri, apakah
yang telah angan-angan berikan dalam hidup saya? Hanyalah kegagalan. Bermain
hati dan perasaanlah punca angan-angan. Saya mula dilanda resah dan keliru
dengan dunia cinta monyet barangkali, walaupun ianya cuma berlegar di sudut
hati, bukan secara zahir. Saya tak pernah menterjemahkannya. Tapi, hatilah yang
menjadi raja, pemberi arahan kepada segala anggota tubuh badan kita. Saya
bertanya lagi, bersihkah hatiku ini? Layakkah hati sebegini untuk menadah nur
ilmu dari Allah? Layakkah? Ilmu itu cahaya dan cahaya Ilahi tidak akan menembusi hati
yang kotor akibat bermaksiat. Astaghfirullah. Saya tahu itu, tapi seringkali buat endah tak
endah sahaja. Entah kenapa, monolog dalaman kali ini membuatkan saya seakan
terketuk dan baru tersedar dari lamunan yang kononnya super bahagia. Perasaan
sedih dan menyesal mula dirasai andai selama ini seketul daging bernama hati
telah terhijab untuk menerima nur daripada Ilahi akibat bermaksiat secara
diam-diam.
Saya rasa lebih bersalah lagi apabila keputusan
peperiksaan akhir tahun saya agak merosot. Saya cemburu pada kawan-kawan yang
sebelumnya tak pernah mengatasi saya dalam pelajaran tiba-tiba jauh
meninggalkan saya. Saya buntu dan sedih. Tak tahu mahu mengadu pada siapa.
Saban hari, dengan tazkirah dan usrah yang
diwajibkan di sekolah, entah bagaimana saya rasa tertarik dengan ungkapan
“cinta Allah”. Menurut penerangan ustaz ustazah juga naqibah, dapat saya fahami
bahawa cinta Allah itu tidak mengecewakan. Cinta-Nya sentiasa membawa
kebahagiaan kepada hati, perasaan dan kehidupan.
Baru saya sedar bahawa dalam hidup ini saya ada
Allah untuk dicintai. Senyum. Allah sentiasa menanti dengan penuh cinta
terhadap hamba-Nya, cuma saya yang tak belum kenal cinta Allah. Saya
difahamkan, pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk dikunjungi. Hati saya jadi
basah dengan pengisian-pengisian dan tarbiyah yang diberikan saban waktu.
Semuanya mengagungkan dan memuji-muji kebesaran Allah, Alhamdulillah sejuk hati
mendengar tentang kesempurnaan Dia Kekasih Agung. Hati yang dahulunya kosong
terasa terisi, yang dahulunya kering terasa disirami percikan menyegarkan untuk
kembali mentaati Allah. Kata-kata cinta daripada Allah melalui Al-Quran
membuatkan diri seolah-olah ditarik kuat tetapi penuh kelembutan untuk terus
merapati-Nya.
Saya mula bertekad untuk terus memburu cinta agung itu. Kisah para bidadari dunia yang telah menembusi syurga menjadi inspirasi untuk melatih diri menjadi lebih baik. Syurga pula, semakin mengenalinya, semakin terpikat dan tergoda akan nikmat yang dijanjikan oleh Pencipta syurga kepada orang yang bertaqwa. Saya cuba bersihkan hati dengan banyak mengamalkan amalan sunat dan zikir. Ketika itu, susah juga untuk istiqamah, terutamanya tahajjud. Namun, menyedari ada rahsia cinta Allah di sebalik amalan-amalan itu, saya paksa juga diri agar ia sebati menjadi sebahagian daripada kehidupan saya, darah daging saya. Saya mula merasai kelainan pada suasana hati saya. Melihat kawan-kawan yang tak diuji dengan lelaki, saya terfikir alangkah indahnya kalau cinta untuk Allah ini tak pernah dicemari oleh cinta dusta manusia.
Rasa macam bodoh pula hidup dalam angan-angan
cinta. Sudahlah masih belajar, sekolah pula tu. Semua itu ternyata sia-sia.
Buang masa dan boleh tergadai cita-cita.
Genap 17 tahun, saya genggam azam baru. Saya
ketepikan lelaki daripada kotak fikiran saya. Hati saya yakin bahawa cinta
Allah mampu mencemerlangkan akademik saya kerana Dia-lah penentu segalanya.
Bukan sekadar akademik, tapi cinta Allah mampu membawa kebahagian yang infiniti
dan kekal abadi menjangkaui kehidupan dunia. Pemberi motivasi dan sumber
inspirasi terbaik, tidak lain dan tidak bukan, hanyalah Dia. Saya cukup yakin
itu.
Saya dapat rasakan bahawa Allah amat diperlukan
untuk mendepani fatamorgana dunia remaja. Cinta lelaki hanya akan merampas
perasaan ini terhadap Kekasih Agung saya. Selepas mengenali sedikit demi
sedikit mengenal cinta Allah, pemikiran saya lebih terarah, malah tindakan saya
juga lebih terpandu. Saya mula memberi perhatian pada pelajaran dan
menghabiskan waktu lapang dengan mengikuti majlis-majlis ilmu. Saya yakin
tarbiyah inilah yang mampu menyemarakkan lagi cinta saya pada Sang Khaliq.
Siang malam saya berdoa agar Allah hadirkan rasa cinta dan rindu kepada-Nya
dalam jiwa saya yang kosong ini. Saya sungguh-sungguh ingin jatuh cinta pada
Allah. Saya rasa seperti mengemis cinta-Nya, walaupun saya tahu Dia Maha
Penyayang, malah Pemilik Segala Cinta. Dalam kehinaan diri dan penuh
pengharapan, saya dapat rasakan ketenangan jiwa yang lebih bermakna. Tak
terungkap dengan kata-kata indah ataupun tulisan puitis. Sungguh, hanya Dia
yang Maha Memahami segala isi hati, yang terzahir ataupun tidak.
Subhanallah :) |
Khazinatul Asrar ; Fatimah Syarha Mohd Noordin.
Seindah Mawar Berduri, Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul. Cetakan Pertama
(2009). Pp 4-6.
Bagaimanakah perasaan anda? Mungkin ada yg menganggap wujud lagi ke perempuan macam ni? :o mungkin ada juga yg terdetik, "Macam langit dengan bumi kalau nak dibandingkan dengan kisah aku". Malu.
Insaf.
Jika kurang masa untuk menelaah sisipan khas di atas, mari baca-baca dahulu kata-kata yang telah disenarai pendek. Semoga bermanfaat :)
"Bukanlah semua tempat perlu kita lembutkan hati kita. Dan semestinya bukanlah di semua tempat perlu kita keraskan jiwa kita".
"Pada zaman perempuan banyak menjadi simbol seks, Islam adalah yang menyelamatkan maruah wanita dan menjadikan mereka terhormat di sisi lelaki. Maka semestinya, perempuan sendiri yang perlu memilih. Apakah mahu mengambil jalan kehormat ini, atau mahu kekal menjadi 'murah'?"
"Perlu letakkan dalam diri kita penggarisan - Maruah Seorang Aku. Yang ini, letakkanlah di level yang tinggi sedikit. Maruah, semestinya tidak patut diletak rendah".
"Apakah anda ini bermaruah jika dibiarkan diri di'test' terlebih dahulu? Dilayan sudah seperti isteri, kemudian baru berkira-kira hendak diambil sebagai isteri yang sah? Jangan. Sesekali jangan."
"Adanya pandangan daripada yang lebih tua, kita akan dapat satu pandangan lain untuk menimbang pandangan-pandangan kita. Kita tidak pernah tahu bila kita akan mengikut perasaan sangat."
"Memandangkan hati kita ini lembut, maka semestinya perlukan penjagaan yang rapi, bukan? Perlu ada prinsip yang jelas. Gariskan prinsip anda. Jangan terlalu mudah menerima!"
"Jangan letak level tinggi sangat. Bersederhanalah. Kerana, bila level yang kita letakkan itu sederhana, maka apabila dia 'lebih baik', itu sudah jadi bonus buat kita. Sekiranya dia nanti 'ada' kelemahan, maka kita nyata telah bersedia kerana kita letakkan level yang sederhana untuknya sebelum ini."
"Maka, prinsip kita, janganlah sampai terlalu ekstrem. Sederhana. Biar sesuai dengan realiti sebuah dunia."
"Biar keimanan memandu perasaan. Marilah perkukuhkan kefahaman berkenaan agama Allah. Sentiasalah bersama-sama wanita solehah yang anda kenali. Duduklah dalam suasana yang membawa hati dan diri itu lebih mendekati Allah. Dari situ, kita akan dapat menghayati kehidupan ini dan mempunyai prinsip yang jelas."
"Hingga apabila sudah sampai waktunya untuk membuat pilihan, anda mempunyai prinsip itu untuk memandu anda di atas jalan yang selamat. Anda akan sentiasa pulang kepada Allah, sebelum membuat keputusan. Cinta anda, perasaan anda, dipandu keimanan. Barulah ketika ini istikharah itu terasa berkesan, doa itu terasa berfungsi, dan rintihan anda kepada Ilahi terasa didengari."
"Solusinya, perempuan sendirilah yang perlu merasakan diri mereka mahal. Perempuan sendirilah yang perlu menjaga diri mereka."
"Janganlah terlalu lembik. Binalah kekuatan. Jangan terlalu ekstrem. Binalah kesederhanaan".
Bukan dilahirkan.
Tetapi dibentuk menjadinya.
Keimanan.
Ciri utama bidadari dunia.
Tidak diwarisi.
Tidak juga boleh dijual beli.
Perlu disemai, dibentuk, dijaga.
Benarlah,
Tarbiyah bukan segala-galanya.
Tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyah.
Semoga Allah redha.
Semoga Allah redha.
Semoga Allah redha.
Aameen ya Allah.
Akhirul kalam, menjadi solehah (atau soleh) tidak semestinya memerlukan keluarga atau ibu bapa yang soleh solehah juga. Yang penting adalah kefahaman, kesedaran dan kemahuan untuk menjadi soleh dan solehah itu dalam diri. Hentikan seribu alasan, mulakan satu penghijrahan. Be someone in the eyes of Allah. Jom! [rimbunhijau91]
p/s : Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya bagi Allah. Tahniah kerana habis membaca! :D Ekstrak isi penting seberapa banyak yang boleh! Jangan simpan sorang-sorang, sayangi sisters kita. Masih ramai lagi yang perlu dikejutkan, diselamatkan. Bangkit bangkit! Biar kita sama-sama, ramai-ramai menggegar dunia dengan hayunan buaian kelak. Selamat menjaga maruah diri, jaga diri hiasi peribadi ;) Kenang daku dalam doamuuuuu, doakan sesama kita terus tsabat di jalan-Nya, diterima niat untuk membentuk diri menjadi bidadari dunia! Insha Allah, aameen ya Wahhab. Jom jom! Dengan redha ALlah, jumpa kat destinasi terakhir syurga nanti! :')
No comments:
Post a Comment