Thursday, February 18, 2010

Ketika Cinta Berbuah Syurga

Di bumi Kurdistan, ada seorang raja yang adil dan soleh. Dia memiliki seorang putera yang tampan, pintar dan berani. Saat-saat paling menggembirakan raja itu ialah apabila ia mengajar anaknya itu membaca al-Quran. Raja juga menceritakan kepada anaknya kisah kepahlawanan para panglima tenteranya di medan pertempuran. Anak raja yang bernma Said akan berasa kecewa apabila ayahnya sedang bercerita, tiba-tiba ada orang yang mengganggu.
Maka dinasihatkan anaknya, “Said, anakku, sudah tiba masanya untuk kau mencari teman sejati yang setia dalam suka dan duka. Seorang teman yang baik, yang akan membantumu untuk menjadi orang baik. Teman sejati yang boleh diajak bercinta untuk syurga”.
Said tersentak mendengar kata-kata ayahnya.
“Apakah maksud ayah dengan teman yang boleh diajak bercinta untuk syurga?”, tanyanya dengan nada hairan.

“Dia ialah teman sejati yang benar-benar mahu berteman denganmu, bukan kerana darjatmu, bukan kerana paras rupamu, tetapi kerana kemurniaan cinta itu sendiri, yang tercipta daripada keikhlasan hati. Dia mencintaimu kerana Allah. Atas dasar itu, kau pun dapat mencintainya dengan penuh keikhlasan; kerana Allah. Kekuatan cinta kamu akan melahirkan kekuatan cinta yang dahsyat yang membawa manfaat. Kekuatan cinta itu juga akan bersinar dan membawa kamu masuk syurga.”

“Bagaimana cara mencari teman seperti itu, ayah?”, tanya Said.
Ayahnya menjawab, “Kau harus menguji orang yang hendak kau jadikan teman sejati itu. Undanglah sesiapa pun yang kau anggap sesuai untuk menjadi temanmu,supaya bersarapan pagi bersama, di rumah kita ini. Jika sudah sampai di sini, jangan terus dihidangkan makanan. Biarkan mereka lapar. Lihatlah apa yang akan mereka lakukan! Itu cara yang paling mudah bagimu. Syukur, jika kau dapat mengetahui peri lakunya lebih daripada itu.”

Said sangat gembira mendengar nasihat ayahnya. Mula-mula, dia mengundang anak-anak pembesar kerajaan seorang demi seorang. Sebahagian besar daripada mereka marah-marah kerana hidangannya tidak disajikan. Bahkan, ada yang pulang dengan hati yang kesal. Ada yang memukul-mukul meja, ada yang melontarkan kata-kata tidak terpuji; memaki hamun kerana menunggu terlalu lama.

Terdapat seorang anak menteri yang bernama Adil. Dia anak seorang menteri. Adil kelihatan seperti seorang yang baik hati dan setia. Maka, dia ingin mengujinya. Adil memang lebih sabar daripada anak-anak pembesar sebelumnya. Dia menunggu keluarnya hidangan dengan setia.

Setelah dirasa cukup, Said mengeluarkan piring berisi tiga biji telur rebus. Melihat itu, Adil pun berkata, “Hanya ini sarapan kita? Ini tidak cukup untuk mengisi perutku!”. Adil tidak mahu menyentuh telur itu lalu pergi begitu sahaja. Said diam. Dia tidak perlu meminta maaf kepada Adil kerana meremehkan makanan yang disediakan dengan kedua tangannya. Dia memahami bahawa Adil tidak berlapang dada dan tidak sesuai menjadi teman sejatinya.

Keesokan harinya, Said menjemput anak seorang pedagang kaya untuk bersarapan di rumahnya. Pada malam harinya, anak saudagar kaya itu sengaja berlapar dan mengosongkan perutnya. Dia membayangkan makanan anak raja pastinya lazat-lazat akan dihidangkan.
Pagi-pagi lagi, anak saudagar itu sudah datang bertemu Said. Dia juga mesti menunggu waktu yang sangat lama sehingga makanan keluar. Akhirnya, Said mengeluarkan piring dengan tiga biji telur rebus di atasnya.

“Ini makanannya. Saya ke dapur dulu untuk mengambil air minum”. Said berkata lalu meletakkan hidangan tersebut di atas meja.
Apabila Said masuk ke dalam, anak saudagar itu terus melahap telur rebus yang dihidangkan satu persatu. Tidak lama kemudian, Said keluar sambil membawa dua gelas air putih. Dia terkejut melihat tiga biji telur rebus sudah tiada!
“Di manakah telurnya?”, tanya Said pada anak saudagar.
“Aku telah makan”.
“Semuanya?”
“Ya, aku habiskan kerana tersangat lapar”.

Melihat hal itu, Said terus mengetahui bahawa anak saudagar itu tidak boleh dijadikan teman sejati kerana dia tidak setia. Tidak dapat berkongsi suka duka bersamanya. Sesungguhnya, Said juga belum makan apa-apa.

Said berasa sangat kecewa dengan anak-anak pembesar di sekitar istana kerana mereka tidak bersikap setia kawan.

Pada suatu pagi yang cerah, ketika berada di luar kota, Said bertemu dengan seorang anak pencari kayu api yang berpakaian sederhana. Diam-diam Said mengikutinya sehingga ke rumah. Dia melihat anak itu mengambil wuduk lalu mendirikan solat sunat dua rakaat.
Selesai solat, Said datang dan menyapa. “Kawan, kenalkan Said namaku. Jika tidak keberatan, bolehku tahu namamu? Tadi kau solat apa?”
“Namaku Abdullah. Tadi itu solat dhuha.”

Said meminta anak itu bermain dengannya dan menjadi temannya. Anak itu menolak dengan baik seraya berkata, “Aku rasa kita tidak sesuai menjadi teman. Kau kelihatan seperti anak seorang kaya atau pembesar, sedangkan aku hanya anak seorang pencari kayu api.”

Said menyahut, “Tidak baik kau berkata begitu. Mengapa kau membeza-bezakan orang? Kita semua adalah hamba Allah. Semuanya sama, hanya takwa yang membuatkan seseorang itu mulia di sisi Allah. Adakah aku kelihatan seperti anak yang jahat sehingga engkau enggan berkawan denganku? Mengapa tidak kita cuba berkawan dahulu untuk beberapa waktu? Nanti kau boleh menilai adakah aku sesuai menjadi temanmu.”

“Baiklah, kita berkawan. Tetapi dengan syarat, hak dan kewajipan kita sama, sebagai teman yang seia-sekata.”

Said bersetuju dengan syarat tersebut. Kemudian, mereka ke hutan dan bermain bersama, memancing dan memburu anak arnab juga bersama. Abdullah juga mengajar Said berenang, menggunakan panah dan memanjat pokok di hutan. Said sangat gembira dengan anak pencari kayu api yang pintar, rendah hati, berlapang dada dan setia. Akhirnya dia kembali ke istana dengan hati yang sangat gembira.

Hari berikutnya, Said pergi lagi berjumpa teman barunya. Abdullah terus mengajak Said makan bersama di rumahnya. Dalam hati, Said berasa tewas kerana Abdullah terlebih dahulu mengundangnya makan.
Mereka makan seadanya. Sepotong roti, garam dan air putih. Said makan dengan berselera. Ingin sekali dia minta tambah kalau tidak mengingat, siapa tahua anak pencari kayu tadi sedang mengujinya. Jadi, dia berasa cukup dengan apa yang dihidangkan.

Mereka kemudian terus bermain bersama. Abdullah juga mengajar Said tentang pokok yang beracun, boleh dimakan atau dibuat ubat. Ketika matahari sudah condong ke barat, Said mahu pulang, lalu dia memberikan secarik kertas kepada temannya. Dia mengundang Abdullah untuk bersarapan pagi di rumahnya pada hari esok.
“Insya-Allah aku akan datang”, jawab Abdullah.

Keesokan paginya, Abdullah sampai di istana. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa Said ialah anak raja dan enggan untuk masuk. Apabila mengingati kerendahan hati dan kebaikan Said, dia masuk juga ke istana.

Said menyambutnya dengan hangat dan gembira. Seperti sebelum ini, Said juga manguji temannya itu. Selama menunggu, Abdullah tidak memikirkan makanan sama sekali. Dia hanya berfikir, sekiranya semua anak bangsawan sebaik anak raja ini, tentu dunia akan aman tenteram.
Akhirnya, telur rebus pun siap lalu dihidangkan dia atas meja. Said mempelawa Abdullah untuk makan dahulu. Anak pencari kayu itu mengambil sebiji telur lalu mengupasnya dengan perlahan-lahan. Sementara itu, Said mengupas dengan cepat dan menyantapnya. Kemudian, dengan sengaja Said mengambil telur yang ketiga. Dia mengupasnya dengan cepat dan melahapnya. Temannya tadi selesai mengupas telur. Said ingin melihat apa yang akan dilakukan temannya dengan sebiji telur itu.

Anak miskin itu mengambil pisau yang ada di situ. Kemuadian dia membelah telur yang ada itu menjadi dua; yang satu dipegang dan yang satu lagi diberikan kepada Said. Said terus menangis terharu. Said pun memeluk anak pencari kayu api itu erat-erat seraya berkata, “Engkau teman sejatiku! Engkau teman sejatiku! Engkau temanku masuk syurga.”
Sejak itu, kedua-keduanya berkawan akrab. Persahabatan mereka melebihi saudara kandung. Mereka saling menyayangi dan menghormati kerana Allah.

Setelah berganti bulan dan tahun, kedua-duanya menjadi dewasa. Said menggantikan ayahandanya yang meninggal dunia. Menteri yang pertama sekali dipilihnya ialah Abdullah, anak pencari kayu itu. Abdullah benar-benar menjadi teman seperjuangan dan penasihat raja yang tiada duanya.
Meskipun telah menjadi raja dan menteri, kedua-duanya masih sering melakukan solat dhuha, tahajud dan mengaji al-Quran bersama. Kepintaran dan kematangan jiwa kedua-duanya mampu membawa kerajaan itu kepada kemajuan, kemakmuran dan kegemilangan. =)
Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertakwa.
(Az-Zukhruf, 43:67)
Kekayaan itu bukanlah pada harta yang banyak, tetapi kekayaan yang sebenar ialah kekayaan hati. 
(Riwayat al-Bukhari no. 6446, Muslim no. 1051, dan Ahmad no. 7316)

Jazakallahu khairan kerana membaca sampai habis. :)
Salam ukhuwah! Jaga diri hiasi peribadi~

No comments: