Tuesday, July 17, 2012

Ramadhan di Mekah :) 1433H


 بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamua'laikum warahmatullahKe hadapan adinda yang dikasihi, Saudari NHA :)

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi tatkala mendengar adinda bakal menjadi tetamu Raja sekalian alam. Sungguh la, bertambah-tambah cemburu apabila mendapat berita yg umrah tersebut bakal dikerjakan pada semulia-mulia bulan! Kecemburuan yang dipendam mengalahkan cemburu sekalian gadis Malaysia ke atas perkahwinan Irma Hasmie! Eh. Terimbau kembali pelbagai kenangan sewaktu berada di Tanah Suci Mekah. Paling dirindui, saat sepasang mata ini menatap Ka’bah yang seakan bercahaya pada waktu malam. Allahu Allah, insya-Allah adinda juga bakal merasai nikmatnya nanti :)

Perjalanan dari Madinah ke Mekah mengambil masa lebih kurang empat jam setengah. Suasana di Mekah dan Madinah sangatlah berbeza. Kakanda jamin, pengalaman berpuasa di Madinah terlebih dahulu pasti akan membina stamina adinda untuk berpuasa di Mekah. Seperti yg adinda sedia maklum, keadaan cuaca di Mekah lebih panas terik berbanding Madinah yg sejuk itu. Selain itu, sudah tentunya umat lebih berasak-asak di Mekah berbanding Madinah. Almaklum sahaja lah, pasti jutaan umat dari seluruh pelosok dunia ingin berebut pelbagai kurniaan Allah pada bulan Ramadhan ini, sama seperti adinda dan keluarga :) dimaklumkan pula, sekolah-sekolah di Mekah (Madinah juga mungkin) cutinya pada bulan Ramadhan. Maka maka maka tinggilah potensi kanak-kanak comel yg bakal menjadi mangsa cubitan pipi adinda. hiihaha. 


Hari Jumaat dan Sabtu juga ramai ummat, terutamanya di Masjid Nabawi dapat dilihat  ramai keluarga duduk-duduk di persekitaran masjid di luar waktu solat. Walau susah senang yg bakal dihadapi ketika mengerjakan ibadah umrah Ramadhan ini, adinda perlu mempersiapkan diri dan minda dari sekarang untuk sentiasa bersifat syukur, sabarrr dan ikhlas (SSI) walau di bumi mana sahaja kaki adinda melangkah nanti. ;)


Perkarangan Masjid Nabawi :)


Seperti yg dijanjikan, akan kakanda coretkan serba sedikit pengalaman ketika berada di Mekah & Madinah. Yang pertama, cuaca pada bulan Ramadhan ini kemungkinan besar akan lebih panas terik berbanding bulan April yang lepas. Memandangkan adinda bakal berpuasa penuh 7-8 hari di sana, kakanda amat menggalakkan adinda minum air zam-zam sebanyak-banyaknya ketika waktu berbuka puasa dan pada malam hari. Hal ini adalah untuk memastikan adinda mempunyai kudrat untuk berulang-alik ke masjid dan bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi yg melampau. Hehew. Setiap kali minum air zam-zam, berdoalah seperti yg telah diajarkan oleh baginda SAW, iaitu mohon dikurniakan ilmu yg bermanfaat, kesihatan yg unggul, dan kemewahan rezeki. Adinda boleh menambah dengan doa apa-apa sahaja, misalnya agar Allah memelihara kesihatan dan meningkatkan kesungguhan diri agar dapat beramal ibadat dengan baik sekali sepanjang bulan Ramadhan di Tanah Suci. Semoga dipermudahkan segalanya dan diperkenankan doa-doa adinda. Insya-Allah, ameen.


Antara deretan tong air zam-zam :) rasa air zam-zam di sana lebih sedap. Kat syurga pasti lebih sedap ;)


Oh memandangkan adinda berpuasa, rasanya masa adinda di waktu pagi akan lebih lama dihabiskan untuk beriktikaf di masjid. Hal ini kerana adinda tidak perlu berulang-alik hotel-masjid-hotel-masjid pada siang hari untuk menikmati sarapan dan hidangan tengah hari yg disediakan di hotel. Beruntungnya adinda pergi pada bulan Ramadhan ini :) Selepas Zuhur, bolehla merehatkan diri di hotel untuk memulihkan tenaga yg masih berbaki dan menyegarkan diri. Biasanya, jemaah yg berada di Masjidilharam & Masjid Nabawi akan duduk di masjid untuk waktu Asar sehinggalah Isyak sebelum pulang ke hotel masing-masing. Walau bagaimanapun, sekiranya hotel adinda berdekatan sahaja dengan masjid, selepas waktu Dhuha dan selepas Asar boleh pulang sebentar untuk menyegarkan diri. Hehe terpulanglah yg mana lebih diminati, sebagai seorang anak, semestinya berdasarkan kepada citarasa ayahanda dan ibunda adinda juga.


Adinda NHA, 


Kubah Hijau. Dua tiang ini adalah antara payung seperti gambar di atas, tetapi sedang menguncup.


Raudhah merupakan kawasan maqam Nabi Muhammad S.A.W, Saidina Abu Bakar dan Saidina Uthman R.A. Sekiranya dilihat dari luar Masjid Nabawi, Raudhah terletak di bawah kubah hijau. Raudhah ini merupakan antara salah satu tempat mustajab doa di dalam Masjid Nabawi, dan ia merupakan kawasan kecil yg berkarpet hijau. Ia juga disebut sebagai salah satu taman syurga yg ada di dunia ini. Ketika zaman Rasulullah S.A.W dahulu, kawasan ini merupakan tempat bagi para sahabat berkumpul bagi mendengar tazkirah dan mengadakan majlis-majlis ilmu. Jemaah wanita hanya dibenarkan untuk masuk ke kawasan Raudhah selepas waktu Subuh dan Isyak sahaja. Hal ini berbeza dengan jemaah lelaki yg boleh memasuki kawasan Raudhah setiap kali selepas solat. Jemaah wanita perlu beratur mengikur rumpun masing-masing. Ehee maksudnya, jemaah dari Malaysia pasti akan berkumpul dan beratur panjang bersama jemaah Indonesia dan beberapa negara jiran yg lain sebelum dilepaskan sedikit demi sedikit untuk masuk ke kawasan Raudhah. Adinda perlu memelihara wudhuk dan banyak-banyak bersabar sewaktu menunggu giliran ini. Oh ya, baru sekejap ini Ibu kakanda memberitahu, rakan sekerjanya yg baru sahaja pulang daripada mengerjakan umrah menceritakan bahawa, sekarang ini lelaki pun sudah seperti wanita, perlu menunggu giliran untuk masuk ke Raudhah. Sudah tidak mudah seperti dahulu.

Solat sunat sekurang-kurangnya dua rakaat di sini. Ya Allah, susah untuk mencari ruang untuk solat. Rasa nak menangis bertambah kuat. Tambah terharu bila ada makcik usai solat pusing ke belakang, dan terus tarik tangan kita untuk ambil tempatnya. Tersenyum seakan memahami. Allah, syukur tak terhingga. Waktu awal-awal diterangkan oleh mutawwif kita sudah sampai ke kawasan asal Masjid Nabawi, rasa terlalu dekat dengan Rasulullah. Teringat semua kebaikan baginda. Tanpa baginda, apa akan jadi kepada kita? Macam-macam terfikir, macam-macam rasa. Rasa nak bawak jugak kawan-kawan yg rindu dengan Rasulullah, rasa nak bawak sekali hati dan jiwa nenek atok sewaktu kursus haji yg belum berpeluang ke sini. Rasa nak bawak semua saudara mara sepupu sahabat handai datang sini sekali rasa sama-sama. Rasa..rasa..rasa..bersyukur sama-sama! Tapi..apakan daya. Doakan untuk semua, juga muslimin muslimat. Doakan kami taw adinda, terutamanya warga Pillow Talk Mahasiswi dan SBN. Sebutlah nama kalau teringat kami yg berada di kejauhan ini. Tskk bestnyaa, nak ikut pergi sanaa! Rindu teramat nak jumpa baginda. Semoga..mendapat syafaat baginda? Semoga. Semoga diperkenankan. Diterima sebagai ummat Muhammad S.A.W. Sampaikan salam kepada baginda eh, adinda. TT Assalamua'laikum ya Rasulullah..daripada ummatmu yg sentiasa merindui pertemuan denganmu, Asfarina binti Ismail.

#Rindu ahli wanita Masjid Nabawi yg berjubah hitam berniqab itu menjerit berulang kali kepada kami yang bertelekung putih, “Sini ibuk! Ibuk, sinnii~!”, dan juga “Ibu, duduk ibuu! Dudukk~!” wahaha style gile! Nanti adinda mesti tersenyum simpul mengalaminya ;) suasana teratur dan layanan sopan yg diterima daripada ahli Masjid Nabawi tidak sama dengan di Masjidil Haram. Oleh itu, hargailah detik-detik manis di Madinah, rakam dan hadam sampai lunyai di minda. Err. Adinda teww, ore pue kamera tokse bawok deh.

Ini belum lagi keadaan bandar dan makanan Arab yg lazat sehingga menjilat jari di kawasan luar Masjid Nabawi. Sudah saya ceritakan serba sedikit ***di sini*** Sekiranya ada yg bertanya keadaan di Madinah, adinda boleh menjawab dengan riang sekali, “Alhamdulillah :) Madinah is super duper awesomee!”. ^^

Seterusnya, ibadat umrah di Mekah. Umrah yg wajib hanya sekali. Namun begitu, adinda boleh juga melakukan beberapa kali umrah sepanjang berada di Mekah. Rekod pencapaian tertinggi ahli Kembara Enterpretasi ke Bumi Anbiyaa yg lepas ialah tujuh kali umrah. Subhanallah alhamdulillah :’) ok jealous di situ dengan kelebihan jemaah lelaki yg mudah bergerak tanpa muhrim. Anda lelaki? Alhamdulillah bersyukur la, tak terhitung kelebihan di sana. Sekiranya anda perempuan yg mempunyai muhrim lelaki, pun patut bersyukur sungguh. Tujuh hari berada di Mekah, dan setiap malam itu sekali umrah. Makanya, tujuh umrah dapat diselesaikan :)


[Nota kaki : Tertib umrah simple saja adinda tahu, kan? Perlu keluar ke miqat untuk berniat ihram (ke sana dengan menaiki prebet sapu yg diminati) - tawaf (mengelilingi Ka’bah 7x) – sai’e (ulang-alik Bukit Safaa dan Bukit Marwah 7x juga – Bercukur) Semuanya boleh selesai dalam masa dua hingga tiga jam sahaja, bergantung pada keramaian umat, tenaga yg berbaki, jiwa kental kita. Sebab tu tak mustahil kalau boleh dapat 7 umrah atau lebih sekali gus :)

Tawaf

120 rahmat dijanjikan Allah untuk jemaah di sekeliling Ka'bah. Yang bertawaf, yg bersolat, yg memandang semua dijanjikan rahmat oleh-Nya. Adakah kita masih boleh bertawaf ketika pulang ke tanah air nanti? Inilah istimewanya ke Masjidil Haram :) Yahaa, mengaji, solat sunat, berzikir, dan amalan sunat lain masih boleh kita lakukan di Malaysia, tetapi tidak bagi tawaf. Ketika tawaf ini dan Ka’bah sendiri banyak tempat yg mustajab untuk berdoa. Di bawah pancur emas, Hijr Ismail. Susah sekali untuk masuk ke kawasan ini. (PASTIKAN ADINDA BUKAN BERADA DALAM IBADAH TAWAF kerana tawaf akan terbatal sekiranya masuk ke Hijr Ismail yg merupakan sebahagian daripada Ka’abah) Cara terbaik yg diajarkan ialah kenal pasti bila waktu kawasan ini akan dicuci (melalui tv di hotel, pemerhatian atau penyiasatan adinda sendiri). Ketika dicuci, semua jemaah akan diarah untuk keluar daripada kawasan ini. So, cepat-cepat beratur di luar Hijr Ismail. Selepas habis dicuci, tali akan dibuka oleh encik polis tukang jaga, maka dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, masuk la :) bunyinya mudah, tapi tak semudah ABC123 kerana keramaian umat untuk berpusu-pusu masuk ke Hijr Ismail itu. Hehew.


Kerja yg sangat pantas dan efisien ;)


Selain itu, adinda pasti sudah sedia maklum bahawa Hajarul Aswad juga antara tempat mustajab berdoa. Sunat mengucup batu dari syurga (yaqut) ini. Ia menjadi saksi tempat pertemuan bibir para nabi, orang-orang soleh, para jemaah haji dan umrah di sepanjang lipatan sejarah. Hebat kan? Tapi untuk mengucupnya tak semudah ABC123, terutamanya  bagi kaum Hawa. Kakanda tidak berpeluang ketika umrah yg lepas, tetapi ada pakcik rombongan kami berpeluang sehingga 5 kali! Subhanallah subhanallah alhamdulillah. Mengelap air mata. Semoga ada dalam kalangan ahli keluarga adinda terpilih untuk mengucupnya :)


Masih ingatkan gambar dalam kamera kakanda yg ramai orang megusap-usap Rukun Yamani? Sekarang baru kakanda tahu ia dapat menghapuskan dosa, menurut riwayat Ahmad dan kata-kata Ibn Abbas. Seterusnya, solat sunat tawaf, doa, minum air zam-zam. Doa solat sunat tawaf itu mengharukan TT menatap Ka’abah sepuasnya. Sampai tahap adinda akan teringat semula, terbayang macam filem diri sendiri sebagai watak utama gelak ketawa tak ingat Allah kat Malaysia dulu. Malu, tak sanggup melihat filem diri sendiri walaupun beberapa siri hidup je yg terbayang. Kemudian rasa amal ibadah dulu buat macam debu-debu yg berterbangan. Mungkin tak dipandang langsung oleh Allah! Hina sungguh diri di hadapan Allah. Kerdilnya diri di hadapan Tuhan Yang Maha Hebat, Maha Perkasa, Maha Menguasai Hari Pembalasan, Maha Agung! Menangis sepuasnya, pasti Allah Maha Melihat. Allah Maha Mengetahui apa yg terbuku di hati, tak terucap oleh kata-kata. Malu meminta-minta. Allah Maha Memahami. Astaghfirullah. Ampunkanlah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami, terimalah amalan kami ya Allah..

Lampu hijau :)

Sai’e

Terkenang, “Ya Allah, jauhnya Siti Hajar berulang-alik antara dua bukit ini untuk mencari setitik air bagi Nabi Ismail.”Bayangkan, dalam keadaan panas terik. Diri sendiri kering kehausan, apatah lagi bayi kecil itu. Hebat sungguh pengorbanan seorang ibu, demi anaknya. Tanpa kehadiran suami. Tskk air mata mengalir laju. Terharu.

Syukur, sabar dan ikhlas (SSI). Syukur Nabi Ismail masih mempunyai ibu, syukur Siti Hajar masih ada tenaga untuk keluar mencari air bagi anaknya. Sabar sungguh Siti Hajar dalam terik mentari mencari sumber air di tengah kering-kontang padang pasir tak berpenghuni, sabar sungguh dengan satu demi satu ujian Allah. Ikhlas seorang ibu berkorban apa sahaja demi anak tersayang, ikhlas mengerjakan suruhan Allah tanpa berkira tanpa mengeluh. Sungguh bertawakal dan bersangka baik dengan pertolongan Allah Yang Maha Esa. Allahu Allah~

Sai'e di tingkat bawah sekali, jemaah yg berkerusi roda biasanya menggunakan laluan ini kerana kurang sesak

Bercukur

Simbolik menghapuskan dosa-dosa bertimbun yg telah lalu.


Ali namanya. Hehe. Berkenalan selepas bercukur err bergunting rambut di atas Bukit Marwah.

Alhamdulillah :) Kadang-kadang, bahan yang sama, tempat yang sama, suasana yang sama, tapi akan memberikan kesan yang berbeza kepada setiap orang. Doa banyak-banyak agar Allah lembutkan hati kita. Doa banyak-banyak agar Allah lunakkan hati kita masjid-masjid-Nya, mendengar bacaan ayat cinta-Nya. Doa lagi agar Allah mendidik jiwa kita lebih cinta akan-Nya, begitu juga mereka yg berada di sekeliling kita. Doa lagi supaya kita berpeluang menjadi tetamu yang paling istimewa di sisi-Nya. Doa banyak-banyak semoga ibadah umrah yg kita jalani adalah yg terbaik, paling istimewa dan cantik di sisi-Nya. Tak mahu yg sia-sia lagi. Tak mahu amal ibadah yg akan bertambah ujub, sombong dan bongkak lagi. Semuanya semata-mata kerana Allah. Serahkan jiwa tenaga untuk beribadah semata-mata kerana-Mu jua ya Allah. Kalau tak dapat rasa nak menangis kerana Allah, menangislah kerana ketidakmampuan itu. Kita yg rasa nak menangis kalau dengar orang mengadu tak boleh nak menangis kerana-Nya.


Semoga memperoleh umrah yg mabrur, semoga diampunkan segala dosa, semoga lebih dilimpahi taufiq dan hidayah-Nya, semoga sendiri merasai curahan kasih sayang Ilahi, semoga permusafiran yg barakah, semoga derap kaki di Tanah Haram menjadi saksi permohonan kecil untuk menjadi tetamu-Nya diperkenankan. Semoga lebih lebih bersyukur atas keistimewaan dari-Nya. Ya Allah. Jangan jadikan kami insan yg lalai. Jadikan kami manusia yg khusyuk bukan sahaja dalam solat, tapi biar melangkaui hati yg sentiasa berhubungan langsung dengan allah dalam segenap kehidupan. 


Kami mohon keampunan Allah.


Biar Mekah dan Madinah menjadi saksi kembalinya seorang hamba seluruhnya kepada Tuhannya Yang Esa. Allahu Akbar.

6.30 pagi

Pintu hadapan masjid menghadap Menara Jam :) Malam kemuncak Kembara Enterpretasi ke Bumi Anbiyaa' UMK 2012.
Menara Jam yg dibina oleh anak-anak Malaysia, majoriti anak Melaka :)

Mayat diusung setiap kali selepas solat. Boleh dilihat secara dekat sekiranya solat di tempat wanita di dataran Ka'bah.

Semua amalan sunat ketika ibadah umrah merangkumi solat sunat, bacaan dan doa-doa tertentu boleh dirujuk di mana-mana buku. Sejarah setiap tempat di mekah dan Madinah juga banyak di dalam buku. Ilmu yg telah diajar oleh ustaz ustazah selepas menghadiri kursus Haji/umrah adalah sangat berharga kerana mereka mempunyai pengalaman yg lebih dan lebih arif dalam bab ini. Jika ingin perencah rasa yg superb ikhlas semata-mata kerana Allah yg pasti ada getaran di dada, Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman oleh Muhd Kamil Ibrahim (MKI), terbitan PTS ini pilihannya. Adinda sudah sedia maklum, bukan? Untuk pengetahuan adinda juga, Prof MKI kini menetap di Madinah al-Munawwarah bersama keluarga dalam meniti kehidupan yg lebih bermakna. Ini nombor beliau untuk dihubungi, 0502127721. Beliau menanti kedatangan para pembaca bukunya dengan lapang dada :) pergilah hubungi beliau, buat kami jealous gilaaa lagi lah nampaknya wahai adinda NHA ;)


Akhirul kalam, banyakkan bertalbiah dalam ihram nanti. Serius syahdu. Alangkan di Malaysia ini sahaja sudah syahdu, inikan pula di sana. Allahuakbar.


HambaMu ini datang menyambut panggilanMu ya Tuhan! hambaMu datang menyambut panggilanMu! Sesungguhnya segala puji-pujian, nikmat dan kerajaan adalah milikMu dan tidak ada sekutu bagiMu.


Sekian sahaja perkongsian yg tidak seberapa ini adindaku. Doakan kami anak-anak kecil yg berjiwa besar ini menjadi mujahidah dan memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat. Doakan kekal di jalan-Nya, sama ada menang bersama Islam, atau syahid di pertengahan perjuangan! Didahului dengan jutaan terima kasih atas butir-butir doa adinda di sana. Dedikasi khas lagu Doa Rabitah (2nd lagu dalam playlist blog ini) untuk adinda. Rindu nak nyanyi bersama dgn adinda! kikiki. Semoga menjadi tetamu yg terbaik dan paling istimewa di sisi-Nya :) 


Anak Turkey barangkali. hehew. Selepas Maghrib di dataran Ka'bah.


Boleh klik klik sini juga, post yg lepas : Sesegar rindu dari Mekah dan Madinah :) & Travelog Madinah :) - updated with some photos!


Wallahua'lam. Uhibbukifillah adinda NHA ;* Happy becoming 20th birthday tomorrow :)


Para pembaca yg budiman, mari berazam sungguh-sungguh dari sekarang untuk jadi tetamu-Nya juga, mahu? Insya-Allah, dipermudahkan niat murni kalian juga. Persiapkan diri, sujud kembali kepada-Nya. Wassalamua'laikum warahmatullah.


p/s : NHA, baru sahaja dapat Pos Ekspress daripada adindaaa!! Alhamdulillah! Boleh publish entry ini sekarang ;)

5 comments:

Fauzan Suhairi said...

siapa NHA ?

oh. menarik pasal Raudhah tu.

my uncle baru balik umrah banyak cerita pasal tu. hihii.

inshaAllah my turn pulak nanti. ameen.

-salam kerinduan-

Asfarina :) said...

ameen2.
NHA tu kawan Allah beri kt umk. hihii

afiqahbaharin said...

Salam my dear ukhti asfa :)

Seriusly, xdpt tahan air mata.. dpt rasa perasaan seolah2 berada kat sana, dekat dgn tanah yg pernah menjadi saksi perjuangan dan dakwah Rasulullah dan para sahabat. Tanah yg pernah menerima derap kaki mereka.. :')
MashaAllah, indah sgt perasaan tu di bumi penuh barakah.
Semoga Allah panjangkan umur utk sampai ke sana menyahut seruanNya :')

afiqahbaharin said...

MashaAllah, Subhanallah :')
beruntungnya asfa n kawan Asfa yg dah n bakal jadi tetamu Allah..
xtahu kenapa baca entri asfa kali ni rasa sebak sangat, mengalior air mata dan tbe2 rasa membuak2 perasaan nak bepijak di tanah suci menjadi tetamu Allah, berpijak di tanah yang pernah menyaksikan perjuangan dakwah Rasulullah habibullah s.a.w dan para sahabat :')
Semoga Allah panjangkan umur untuk sampai ke sana...
asfa take care n jgn lupa sy dlm doa :)

Asfarina :) said...

ameen ameen, insha-Allah fieqa :') dah dekat da kat sana tu, insha-Allah diizinkan Allah :)
fieqa pun take care take care, panjang umur jumpa lagi rindu :)